Saturday, May 25, 2013

Operasi Ketenteraan USA di Kepulauan Melayu



Salam sejahtera pembaca semua. Pada hemat saya ramai sudah sedia maklum dengan penyerangan tentera Amerika Syarikat terhadap Afghanistan, Iraq dan Libya. Namun tahukah anda lebih daripada satu abad yang lalu Amerika telah memulakan campurtangan ketenteraan mereka di dunia Melayu? Ya, pasti ramai yang terkejut mendengar hal ini namun itulah hakikatnya. Sebelum mereka menjajah Filipina lagi sebenarnya sudah ada konflik yang melibatkan kuasa tentera mereka di rantau ini. ianya bermula di sebuah pelabuhan di Sumatera yang bernama Kuala Batu atau Kuale Batee dalam dialek Acheh. Peristiwa ini dikenali dalam sejarah Amerika sebagai The First Sumatran expedition. Ikutilah kisahnya dalam artikel saya dibawah.



Pada tanggal7 Februari 1831, sebuah kapal milik Amerika Syarikat berlabuh di Kuala Batee, Aceh Barat Daya. Kapal bernama Friendship itu dinakhodai oleh Charles Moore Endicot. Kapal ini datang ke Kuala Batee untuk membeli lada hitam yang ketika itu menjadi salah satu pusat perdagangan lada hitam yang terkenal Aceh.



Apabila kapal itu tiba di pelabuhan tersebut, kapal tersebut telah diserang oleh sekelompok penduduk Kuala Batee yang datang dengan tiga buah perahu. Tiga awak kapal telah  terbunuh dalam serangan tersebut. Kerugian yang dialami diperkirakan sejumlah US$ 50 ribu. Namun demikian Kapal tersebut berjaya diselamatkan daripada dirampas sepenuhnya dengan bantuan daripada seorang pembelot dari kalangan orang Acheh sendiri bernama Po Adam. Peristiwa ini sebenarnya anda boleh baca dalam buku karya M.Nur El Ibrahimy  yang berjudul Selayang Pandang Langkah Diplomasi Kerajaan Aceh. Ibrahimy menulis bahawa, setiap tahun jumlah lada hitam yang diangkut sekitar 3 ribu ton dari Aceh untuk dijual ke benua lain, termasuklah ke Amerika hingga Eropah.


Perompakan atau serangan terhadap Kapal Amerika tersebut menimbulkan tanda tanya besar bagi mereka. Sebab, itulah kali pertama kapal Amerika diserang di perairan Kepulauan Melayu. Menurut Ibrahimy, peristiwa itu berpunca daripada  kemarahan orang Aceh kerana merasa selalu ditipu oleh para pedagang Amerika dalam perdagangan lada. Pernah berlaku satu kejadian, ketika berlakunya jual beli diantara pedagang Amerika dengan Orang Aceh, berat  sebenar ladanya ialah  3.986 pikul, tetapi ketika dijual kembali oleh pedagang Amerika beratnya menjadi 4.583 pikul.



Penduduk tempatan akhirnya mendapat tahu bahawa rupanya, pedagang Amerika berlaku tidak adil dengan memalsukan takaran timbangan. Mereka memalsukan timbangan dengan cara menggunakan  sebuah alat timbangan yang telah diubahsuai dan boleh ditambah atau dikurangkan jumlah timbangannya mengikut kesukaan mereka. Dengan kata lain jika timbangan sebenar lada orang Acheh adalah 30 kati maka mereka akan menimbang semula dengan timbangan yang diubahsuai tersebut dan didapati timbangan tersebut berkurangan menjadi 20 atau 10 kati sahaja, maka kadar bayaran yang diterima orang Acheh akan berkurangan.




Itu hanya salah satu daripada faktornya. Penyebab lain pula, ialah Belanda berhasil memprovokasi orang Aceh untuk menyerang kapal-kapal Amerika. Tujuannya, kerana Belanda ingin merosakkan nama baik Kerajaan Aceh supaya terlihat bahawa kerajaan Acheh tidak mampu melindungi kapal asing yang berlabuh di perairannya. Keadaan ini mampu melemahkan kekuatan ekonomi kerajaan Acheh apabila berkurangnya kapal yang akan berlabuh di sana.




 Selain itu diketahui juga bahawa, pihak Belanda telah membayar dan memberikan bekalan senjata kepada kapal Aceh yang dinakhodai oleh Lahuda Langkap untuk menyerang kapal Amerika dengan menggunakan bendera Kerajaan Aceh. Hal ini sudah tentu akan memburukkan lagi nama kerajaan Acheh di persada antarabangsa kerana Acheh ketika itu memang sebuah kerajaan yang kuat dan terkenal di seluruh dunia. Selepas peristiwa penyerangan tersebut, Kapal Friendship telah terus kembali ke Amerika. Berita mengenai peristiwa penyerangan para penduduk Acheh terhadap Kapal tersebut akhirnya tersiar di dada-dada akhbar utama di Amerika dan Eropah sehinggakan sebahagian besar pihak pemerintah di Amerika berasa geram dan malu akan kejadian tersebut kerana mereka adalah diantara kuasa besar dunia pada ketika itu.



Ditambah lagi apabila salah seorang pemilik kapal itu adalah Senator Nathanian Silsbee. Silsbee kemudiannya telah menghantar surat kepada Presiden Jackson dan meminta Amerika menuntut ganti rugi atas kerugian yang dialami, dan mengirim kapal perang ke perairan Aceh. Surat  yang serupa juga dikirim oleh Robert Stones, pemilik kapal yang lain, mendesak Menteri Angkatan Laut, Levy Woodbury agar mengirim kapal perang ke Aceh. Diringkaskan cerita, Presiden Jackson telah bersetuju dengan tuntutan tersebut. Maka pihak kerajaan Amerika Syarikat telah menghantar kapal perang Potomac ke Aceh. Ini adalah kapal perang terbaik yang dimiliki Amerika pada zaman itu.  Kapal tersebut telah berangkat dari New York dan tiba di Aceh pada 29 Ogos dengan membawa 260 pasukan tentera Marines.


Pada 5 Februari 1832 kapal perang Amerika Potomac tiba di perairan Kuala Batee. Commodore John Downes seterusnya telah berhubung dengan si pembelot Po Adam untuk mengetahui situasi di Kuala Batee. Menurut maklumat yang diberikan Po Adam bahawa Raja yang menjadi wakil Acheh sebagai pentadbir Kuala Batee sama sekali tidak akan membayar ganti rugi yang dituntut Amerika. Commodore John Downes kemudiannya membuat keputusan untuk menyamarkan kapal dan krunya sebagai kapal dari Denmark untuk memasuki kawasan pelabuhan Kuala Batee. Penyamaran yang dibuat berjaya apabila orang-orang Acheh yang berkawal di pantai tidak mengesyaki kapal perang tersebut. Beliau kemudiannya menghantar pengintip untuk ke darat bagi mengetahui kedudukan dan kekuatan tentera Kuala Batee. Namun demikian kehadiran mereka akhirnya berjaya dikesan pasukan Acheh.




Hasil intipan yang dibuat mereka mendapati ada tiga buah perahu perang yang menjaga pelabuhan Kuala Batee ditambah dengan 5 buah kubu batu yang lengkap dengan meriam di sepanjang kawasan pantai berdekatan pelabuhan. Maka pecahlah perang diantara orang Melayu Kuala Batee dengan Orang pucat Amerika Syarikat menjelang matahari terbit pada 6 Februari 1832. Warga Kuala Batee yang sudah tahu kedatangan kapal Amerika itu berkubu di pantai Kuala Batee. Tentera Amerika yang berlabuh di Kuala Batee terus menyerbu benteng-benteng orang-orang Acheh. Tentera Amerika yang bersenjatakan rifle tercanggih pada masa tersebut dengan mudah dapat membunuh tentera tempatan yang hanya bersenjatakan istinggar yang telah ketinggalan zaman. Namun demikian menurut laporan US penduduk tempatan melawan dengan hebat sekali sehinggakan berlaku pertarungan jarak dekat dengan menggunakan senjata tajam. Dalam pertarungan tersebut Raja Po Muhammad, pentadbir pelabuhan Kuala Batee telah terkorban bersama 150 orang pahlawannya.  Penyerangan tersebut juga mengena kepada golongan kanak-kanak dan wanita. Di pihak  Tentera Amerika, dua tewas dan 12 orang luka-luka. Selain itu tentera-tentera Amerika yang mendarat telah membakar rumah-rumah serta merompak harta-harta penduduk kampong secara besar-besaran. Banyak orang kampong yang terkorban di tangan mereka.





Sebelum meninggalkan Kuala Batee, Kapal Potomac telah membedil pelabuhan dengan meriam-meriamnya. Pelabuhan yang disebut Amerika dengan Kuallah Battoo itu akhirnya hangus terbakar tinggal puing-puingnya sahaja. Dalam pembedilan tersebut dikatakan lebih dari 300 orang penduduk tempatan telah maut. Sebelum kapal Potomac berlabuh pulang beberapa orang Raja dari negeri naungan Acheh yang sebelum ini turut sama berjuang di medan perang menyerah kalah dan merayu agar negeri mereka tidak diserang seperti Kuala Batee. Downes kemudian berjanji tidak akan menyerang negeri-negeri yang berjiran dengan Kuala Batee asalkan penduduk tempatan tidak menyerang lagi kapal-kapal Amerika.



Sebenarnya tidak semua orang Amerika yang bersetuju dengan penyerangan itu. Media bisnes di Amerika, Nile's Weekly Register mengecam habis-habisan penyerangan tersebut. Namun,  Presiden Jackson, berusaha untuk menutup peristiwa tersebut dari khalayak ramai.


Dalam peristiwa ini kita boleh lihat bahawa kebiadapan Amerika dan sikap suka mengganggu ketenteraman negara lain adalah suatu yang tidak asing dan telah dipraktikkan mereka sejak dahulu lagi. Tanpa mengira wanita ataupun kanan-kanak tentera Amerika dengan kejam membunuh seluruh penduduk kampong di Kuala Batee. Semoga kisah ini menjadi satu peringatan kepada kita bahawa Amerika dan konco-konconya sanggup melakukan apa sahaja bagi menguasai ekenomi, politik dan sosial negara lain bagi mencapai matlamat New World Order mereka. Oleh itu berwaspadalah anak Melayu sekalian. Jika mereka mampu menghantar tentera ke Alam Melayu hampir dua abad yang lalu apatah lagi di masa kini. Bersatulah wahai anak Melayu sekalian kerana bersatu itu membawa keteguhan dan kekuatan. Jangan sesekali jadi pembelot seperti Po Adam! Sekian wallah hu a’lam.


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Open Cbox