Tuesday, August 27, 2013

Asal Usul Penubuhan Kongsi Gelap di Malaysia






Kongsi-kongsi gelap Cina di Negeri-negeri Selat berasal dari kumpulan Triad. Kumpulan Triad merupakan satu kongsi gelap yang ditubuhkan di negeri China pada tahun 1674. Tujuan kumpulan Triad ialah untuk menggulingkan Kerajaan Manchu dan menggantikannya dengan Dinasti Ming. Kumpulan Triad juga dikenali sebagai nama-nama seperti Liga Hung dan Thian Ti Hui (Liga Syurga dan Bumi). Orang Cina telah menubuhkan kongsi-kongsi gelap tidak lama selepas British menduduki Pulau Pinang (1786) dan Singapura (1819). Sejak tahun 1799 lagi kongsi-kongsi gelap Cina mula menentang pentadbiran British di Pulau Pinang. Antara kongsi-kongsi gelap yang terkenal ialah Ghee Hin (Kantonis) dan Hai San (Hakka). L.A. Mills menganggap kongsi-kongsi gelap Cina di Negeri-negeri Selat sebagai the Pirates and Robbers Co-operative Association. Sebilangan besar ahli kongsi-kongsi gelap tersebut terdiri daripada penjenayah Cina.

Perebutan kuasa dan kawasan jajahan telah melahirkan pelbagai nama dan kod angka kumpulan seperti Tiga Maharaja, Tokong Lima Beradik, 13 Pedang, Naga Merah, 03,04,07,08,21,24,36,38,18,360,367,368,369 dan banyak lagi. Dipercayai juga beberapa kumpulan yang asalnya hanya di ketuai dan dianggotai oleh bangsa Cina telah diketuai dan dianggotai oleh bangsa-bangsa lain seperti 08,18,24,36,77,99 dan lain-lain. Kumpulan kongsi gelap juga menjadikan lambang-lambang tertentu sebagai ikon kumpulan mereka seperti haiwan liar, mitos dan senjata api bagi melambangkan keganasan dan kekejaman mereka.

Sepertimana kongsi gelap lain di seluruh dunia, kongsi gelap Malaysia dipercayai menjadikan kongsi gelap di Tanah Besar China, Hong Kong dan Taiwan sebagai contoh penubuhannya, menjalankan operasi dan tetap menjadikan Guan Yu/Kuan Yee (Dewa Perang) sebagai idola yang dipuja-puja. Malah di dalam sumpah setia meraka, mereka masih menggunakan pengakuan menjadi ahli "Tentera Merah".



                                                              Gambar Hiasan



Sebab-sebab penubuhan kongsi-kongsi gelap Cina

1. Kewujudan kongsi-kongsi gelap di China Selatan

Kebanyakan orang Cina yang berhijrah secara ramai-ramai ke Negeri-negeri Selat dalam abad ke-19 merupakan bekas ahli kongsi-kongsi gelap di negara China. Tradisi kongsi-kongsi gelap ini telah diteruskan oleh orang Cina di Negeri-negeri Selat.

2. Keperluan organisasi bagi perlindungan dan bantuan bersama

Orang Cina yang berhijrah ke Negeri-negeri Selat berasal dari kawasan-kawasan yang berlainan di negara China dan terdiri daripada berbagai-bagai suku. Mereka juga mempunyai bahasa pertuturan dan adat yang berlainan. Faktor-faktor ini dan keadaan sekeliling yang baru telah menyebabkan orang Cina memasuki kongsi gelap yang seketurunan bagi tujuan perlindungan diri dan bantuan bersama. Selain daripada menjalankan kegiatan-kegiatan jenayah, kongsi-kongsi gelap ini merupakan persatuan kebajikan dan sosial. Mereka membantu ahli-ahli yang berada dalam kesusahan, menguruskan pengebumian ahli-ahli yang meninggal dunia dan membantu ahli-ahli mencari pekerjaan.

3. Kewujudan peluang-peluang kekayaan dan kuasa

Kongsi-kongsi gelap juga ditubuhkan dengan tujuan menguasai lombong-lombong bijih timah, perdagangan kuli, perjudian dan pelacuran.

4. Sikap tidak peduli Kerajaan Negeri-negeri Selat

Sikap tidak peduli Kerajaan Negeri-negeri Selat telah menggalakkan penubuhan kongsi-kongsi gelap Cina. Pegawai-pegawai awam dan pasukan polis tidak mencukupi untuk mengawal kegiatan kongsi-kongsi gelap. Pada tahun 1831, hanya terdapat 18 orang polis sahaja bagi penduduk seramai kira-kira 16000 orang di Singapura. Malahan, tiada terdapat seorang pegawai pun sebelum tahun 1867 yang boleh bertutur dalam bahasa Cina atau memahami adat orang Cina. Tiada terdapat jentera kerajaan sebelum tahun 1877 bagi menguruskan hal-hal berkaitan dengan kaum Cina di Negeri-negeri Selat. Malahan tiada terdapat kakitangan kehakiman yang mencukupi untuk menyelesaikan kes-kes jenayah. Sehingga tahun 1856 hanya terdapat seorang hakim di Negeri-negeri Selat. Keadaan ini telah menggalakkan perkembangan kongsi-kongsi gelap Cina.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Enter your email address:

Delivered by FeedBurner

Open Cbox